Lokasi Penginapan yang Mesra Penunggang Basikal

Hotel, Inap Desa dan Hostel yang Menampung Pelancong Berbasikal

Sekiranya bercadang untuk melakukan perjalanan basikal yang lebih lama di Taiwan, anda mungkin boleh mengikuti Laluan Berbasikal No. 1 yang sangat popular. Laluan ini mengelilingi seluruh pulau, jadi anda perlu menentukan tempat penginapan. Bimbang tidak boleh membawa “kuda besi” kesayangan anda ke dalam bilik atau tiada ruang yang selamat untuk menyimpannya? Yakinlah, terdapat banyak hotel, inap desa dan hostel yang memenuhi keperluan pelancong berbasikal.


Untuk mendapatkan gambaran ringkas mengenai tempat penginapan yang telah dinilai oleh Biro Pelancongan Taiwan dan diberikan label “mesra penunggang basikal”, layari taiwanstay.net.tw. Seterusnya, pilih Penginapan Rasmi. Kemudian, pilih Carian mengikut kategori berikut di sebelah kiri, tandakan pilihan Penginapan mesra penunggang basikal di bawah Kemudahan Sukan. Klik pada Carian untuk mendapat senarai lebih daripada 500 buah tempat penginapan yang menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk memenuhi keperluan tetamu berbasikal.


Untuk disenaraikan dalam senarai kemudahan basikal ini, pengusaha hotel harus memenuhi dua syarat asas. Yang pertama, menyediakan ruang menyimpan basikal untuk penunggang basikal. Ini bermaksud terdapat kawasas umum khusus yang dikendali dan/atau di bawah pengawasan untuk mencegah pencurian, atau tetamu dibenarkan membawa basikal ke dalam bilik mereka (banyak tempat penginapan menyediakan rak yang dipasang pada dinding untuk meletakkan basikal di dalam bilik tamu). Syarat kedua, menyediakan ruang yang membolehkan para tetamu membersihkan dan memperbaiki basikal mereka, termasuk saluran air untuk mencuci basikal berdebu dan tangan berminyak.

Foto milik Hotel Kadda


Biro Pelancongan seterusnya mencadangkan supaya pengusaha hotel menyediakan sarapan pagi atau sarapan pagi yang senang dibawa oleh penunggang basikal yang perlu memulakan perjalanan mereka lebih awal. Hal ini demikian kerana mungkin keperluan laluan mereka atau mereka mengambil bahagian dalam acara berbasikal / lumba basikal yang mungkin bermula pada awal pagi. Selain itu, hotel didorong lebih fleksibel tentang waktu mendaftar keluar. Para tamu yang menyertai acara berbasikal perlu dibenarkan untuk menyimpan bagasi mereka di dalam bilik sehingga acara tamat dan diberikan masa untuk beristirahat dan menyegarkan diri sebelum mendaftar keluar.


Bagi tetamu yang tidak membawa basikal sendiri, pihak hotel juga digalakkan untuk menyediakan basikal untuk disewa. Selain itu, pihak hotel boleh memberikan cadangan dan info berguna tentang berbasikal di kawasan yang berdekatan hotel atau inap desa, seperti peta, jadual perjalanan, destinasi yang disyorkan dan sebagainya.

Hotel Red Dot di Taichung


Maklumat tentang penginapan yang berpatutan dan mesra penunggang basikal di sekitar Taiwan juga boleh didapati di laman web Persatuan Hostel Taiwan I See You (www.iseeyou.org.tw; Bahasa Cina). Anda boleh menjumpai banyak tempat penginapan yang memenuhi keperluan pelancong yang lebih muda, terutamanya penunggang basikal. Hostel-hostel harus memenuhi syarat yang ketat (termasuk pendaftaran rasmi, penilaian tinggi yang diberikan oleh tetamu, persekitaran yang mesra dan kaya dengan budaya dan sebagainya), baru dapat disenaraikan. Antara kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan kepada penunggang basikal secara percuma oleh semua hostel ialah pengisian semula air, maklumat perjalanan, pengecasan peranti mudah alih, Wi-fi, kemudahan tandas awam, pam basikal, peralatan asas dan kawasan pembaikan basikal layan diri. Di samping itu, hostel menyediakan kawasan pembersihan basikal, bilik mandi awam, mesin basuh layan diri, mesin pengering dan secawan kopi / teh dengan bayaran yang kecil (NT$50 / RM7.50 untuk ahli persatuan; NT$100 / RM15 untuk bukan ahli).

Foto milik Taipei Travelers