Festival Tanglung Taiwan 2025 yang berlangsung selama 12 hari telah berakhir dengan menarik lebih daripada 15 juta orang pelawat. Festival ini bukan sahaja merancakkan “ekonomi malam”, tetapi juga merangsang pelancongan di banyak daerah dan bandar yang berkaitan dengan festival tanglung tempatan. Festival tersebut turut mendapat perhatian meluas serta pujian tinggi daripada media tempatan dan antarabangsa. Lebih daripada 200 orang wakil media antarabangsa melaporkan festival tersebut, termasuk media dari Amerika Utara, UK, EU, Jepun, Korea Selatan, Hong Kong, Macau dan Malaysia.

Upacara “lampu dipadamkan” pada 23 Februari diadakan di Tanglung Utama yang dinamakan “Syurga”. Upacara ini diketuai bersama oleh Chou Yung-hui, Ketua Pengarah Pentadbiran Pelancongan, Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi (MOTC), Datuk Bandar Taoyuan Chang San-cheng, dan Timbalan Magistret Daerah Chiayi, Liu Pei-dong. Persembahan upacara penutupan ini menerangi langit malam di Taoyuan dan dinikmati oleh ribuan pelawat. Gabungan cahaya dan bunyi yang mengagumkan mencipta kenangan indah, menandakan kejayaan penutupan Festival Tanglung Taiwan tahun ini.

Festival Tanglung Taiwan, sebagai jenama utama pelancongan Taiwan, telah diadakan selama 36 tahun. Tahun ini, pelbagai aktiviti interaktif berasaskan teknologi diadakan. Festival ini telah menjadi perayaan tradisional yang sangat penting dan menarik banyak pelancong antarabangsa, termasuk pelancong yang kembali berulang kali. Festival ini mendapat nama sebagai “Disney tanpa roller coaster”.

Festival Tanglung Taiwan 2026 akan diadakan di Daerah Chiayi. Berdasarkan pengalaman menganjurkan festival ini dua kali sebelum ini, bersama dengan konsep utama “Chiayi Baharu”, festival ini akan memberikan pengalaman menonton tanglung yang berbeza kepada para pelawat. Pameran tanglung ini akan berlangsung selama 13 hari, dari 3 hingga 15 Mac 2026. (Festival Tanglung bermula pada hari ke-15 pada bulan pertama kalendar lunar.) Tempat berlangsungnya festival tersebut termasuk Kampus Selatan Muzium Istana Negara, Jalan Taizi, Zon Khas Pentadbiran Kerajaan Daerah dan Dataran Kerajaan. Air dan pelbagai bangunan akan menjadi latar belakang menarik bagi persembahan seni tanglung, seni persembahan serta persembahan dron. Persembahan-persembahan tersebut akan merombak konsep umum darat, air dan udara, serta menunjukan keunikan Daerah Chiayi. Selain itu, untuk meneruskan pengenalan reka bentuk estetika seni dalam Festival Tanglung, Pentadbiran Pelancongan juga akan berusaha untuk menampilkan imej tempatan dan kekuatan teknologi baharu bagi membangunkan Festival Tanglung Taiwan sebagai acara pelancongan antarabangsa berskala besar. Melalui pemasaran bersama “Taiwan Tourism 100 Highlights” dan “Tourism Circle” tempatan, jenama antarabangsa Festival Tanglung Taiwan akan bersinar sekali lagi. Jumpa lagi di Festival Tanglung Taiwan 2026!