Tibalah musim panas lagi! Matahari bersinar terang dan begitu banyak keseronokan yang boleh kita nikmati di sekitar Taiwan. Apa yang anda tunggu lagi? Terokailah bersama-sama!
Festival Berbasikal Taiwan
Hingga November
Berbasikal telah menjadi sangat popular di Taiwan sejak kebelakangan ini. Dengan persekitaran berbasikal yang sentiasa diperbaiki di seluruh pulau, jumlah peminat berbasikal semakin meningkat. Sejak 2010, festival ini diadakan setiap tahun serta mengumpulkan peminat berbasikal melalui acara-acara menarik, antaranya Taiwan KOM Challenge (tahun ini akan berlangsung pada 27 Oktober), Formosa 900 (berlangsung pada 11~19 November), dan Come! Bikeday (11 November).
Taiwan KOM Challenge
Come! Bikeday
Menginap Semalam di Bangunan Pejabat Presiden Taiwan
Pendaftaran: Sehingga 30 Jun, Penginapan: September~Disember
Adakah anda ingin bermalam di Bangunan Pejabat Presiden Taiwan? Empat tahun selepas kemungkinan ini diberikan kepada pelawat dari luar negara untuk kali pertama, kerajaan pusat kini sekali lagi menjemput warga asing yang berminat untuk merasai pengalaman bermalam di bangunan penting dan ikonik ini. Memandangkan ini bukan penginapan pelancongan biasa, sudah tentu terdapat proses permohonan yang perlu dilalui. Dapatkan maklumat terperinci tentang proses permohonan ini di laman web rasmi di bawah.
Festival Musim Panas Dadaocheng
1 Julai ~ 20 Ogos
Festival Bunga Api Dadaocheng Taipei yang berlangsung pada satu hujung minggu setiap tahun sebelum ini, akan dijadikan Festival Musim Panas Dadaocheng yang berlangsung selama 51 hari tahun ini. Terdapat persembahan bunga api altitud rendah pada hari Rabu jam 8:30 malam dan juga persembahan bunga api besar-besaran pada malam 20 Ogos, iaitu dua hari sebelum Hari Kekasih. Tempat-tempat acara tersebut berlangsung ialah Pelabuhan Dadaocheng dan Taman Tepi Sungai Yanping, kedua-duanya terletak di tebing timur Sungai Tamsui.
Bas Ulang-alik Pelancong “Separuh Harga dengan E-Tiket”
Berita baik bagi para pelancong yang bergantung pada pengangkutan awam semasa menjelajahi Taiwan! Dengan mengambil bas dalam rangkaian Bas Ulang-alik Pelancong Taiwan yang sangat popular dan mudah, anda kini boleh menikmati tambang separuh harga apabila membayar dengan e-tiket (EasyCard, iPASS dan iCASH). Rangkaian ini menghubungkan pusat pengangkutan utama seperti stesen kereta api konvensional dan berkelajuan tinggi dengan tempat-tempat tarikan pelancongan di seluruh Taiwan. Keseluruhannya, terdapat 64 laluan yang dioperasikan oleh 35 buah syarikat bas yang berbeza.
Bas Pelancong Taiwan: Melancong Berdua, Bayar Satu!
Mulai 1 Julai hingga 31 Disember tahun ini, promosi istimewa dilancarkan, iaitu dua orang boleh menikmati tawaran eksklusif 2 untuk 1 semasa menggunakan perkhidmatan pengangkutan tempatan! Jabatan Pelancongan bekerjasama dengan 22 buah agensi pelancongan di bawah inisiatif “Bas Pelancong Taiwan” menyediakan pakej pelancongan yang terdiri daripada 83 pilihan. Pakej-pakej ini menyediakan perkhidmatan pengangkutan dari pusat pengangkutan utama seperti Kereta Api Berkelajuan Tinggi Taiwan, Kereta Api Taiwan, lapangan terbang dan hotel ke pelbagai tempat tarikan pelancongan utama di Taiwan. Selain itu, “Bas Pelancong Taiwan” juga menyediakan kemudahan-kemudahan seperti Wi-Fi dan komentar berpandu profesional dalam bas. Para pelancong boleh membuat tempahan untuk itinerari tersebut dan menikmati keunikan Taiwan sepenuhnya.
Perkhidmatan Feri Penghu Baharu
Dari Pulau Taiwan, cara terpantas untuk tiba di pulau-pulau di kepulauan Penghu adalah dengan menaiki kapal terbang dari Taipei, Taichung, Tainan atau Kaohsiung (kurang daripada satu jam perjalanan penerbangan untuk setiap laluan). Cara yang lebih lambat adalah dengan menaiki feri, sama ada dari bandar Budai di Daerah Chiayi atau dari Pelabuhan Kaohsiung (sekitar empat jam bagi perjalanan satu hala). Jika anda memilih cara kedua, bermula pada bulan Ogos ini, anda akan menikmati perjalanan menggunakan kapal feri baharu yang bernama Feri Penghu. Feri baharu ini menggantikan Feri Taihua yang telah berkhidmat di laluan tersebut lebih daripada 30 tahun.
🌐 tnc-kao.com.tw/schedule/ticket (Bahasa Cina)