Antara kawasan terkenal berbasikal di sekitar Taiwan, Lembah Huadong dan Pantai Timur pasti membuat penunggang basikal teruja. Baik berkhayal sebelum melawat atau semasa menikmati keseronokan berbasikal di lokasi tersebut.
Impian mengelilingi pulau Taiwan dengan berbasikal sentiasa diutamakan dan dicatat dalam senarai penunggang basikal tempatan dan asing. Kebanyakan orang memilih Laluan Berbasikal No. 1 yang terkenal dan mudah diikuti. Biasanya para penunggang basikal mampu menyelesaikan perjalanan dalam masa kurang daripada dua minggu. Melalui mengelilingi pulau dengan berbasikal, para penunggang basikal berpeluang menikmati pemandangan yang permai dan lokasi yang indah.
Sekiranya tidak mahu mengelilingi seluruh pulau dan lebih suka untuk menumpukan kepada kawasan-kawasan yang kaya dengan persekitaran bersih dan meninjau pergunungan tinggi dari jauh dan / atau lautan di sebelah anda, anda boleh meluangkan masa di kawasan timur Taiwan, khususnya Hualien dan Taitung.
Melihat peta topografi Taiwan, jelas kelihatan Pergunungan Pantai di sepanjang pantai dan Lembah Huadong di sebelah barat Pergunungan Pantai. Terdapat dua batang lebuh raya yang menghubungkan bandar Hualien dan Taitung, yakni Lebuh Raya Wilayah No. 9 yang melintasi lembah dan Lebuh Raya Wilayah No.11 yang dikelilingi oleh pantai. Selain itu, terdapat beberapa batang jalan kecil yang menghubungkan kedua-dua batang lebuh raya ini. Terdapat juga Jalan Daerah No. 193 yang selari dengan Lebuh Raya Wilayah No. 9 di bahagian lembah Hualien.
Anda mempunyai banyak pilihan semasa merancang laluan. Contohnya, berbasikal di sepanjang lembah, kemudian kembali ke laluan pantai (atau sebaliknya), berbasikal secara eksklusif di lembah atau di sepanjang pantai (atau menggabungkan kedua-dua buah kawasan dengan menggunakan salah satu jalan penghubung), atau mengikuti Jalan Daerah No. 193, yang merupakan alternatif baik untuk lebuh raya kerana lalu lintas yang kurang dan tempat redup di bawah pokok yang lebih banyak.
Landasan kereta api utama sepanjang lembah memudahkan pengangkutan awam di sini. Jika merancang untuk hanya berbasikal di sesetengah tempat di lembah ini, anda boleh bergerak dengan mudah. Anda hanya perlu membawa basikal anda ke dalam kereta api tempatan. Selain itu, anda boleh menyewa basikal berhampiran titik permulaan di beberapa laluan basikal yang terkenal, contohnya Yuli di Hualien dan Chishang di Taitung.
Laluan yang Dicadangkan
Laluan Basikal Yufu
Laluan Basikal Yufu yang popular ini dibina di atas landasan kereta api yang sudah tidak berfungsi. “Yufu” ialah kependekan bagi Yuli-Fuli, yakni dua buah bandar yang paling selatan di Daerah Hualien. Titik permulaan laluan basikal ini ialah Stesen Kereta Api Yuli. Terdapat kedai sewa basikal yang menyediakan basikal berkembar dan basikal elektrik.
Laluan Basikal Yufu bermula kira-kira 300m dari selatan stesen kereta api. Setelah menunggang seketika ke landasan kereta api utama, anda perlu membelok ke tenggara, kemudian mengikuti laluan asal kereta api yang digunakan pada masa lalu. 2km dari stesen kereta api, anda akan tiba di jambatan panjang dan lurus yang melintasi Sungai Xiuguluan. Anda akan tahu sebab landasan kereta api tidak berfungsi lagi. Selepas melintasi kira-kira dua pertiga jambatan tersebut, terdapat titik yang menunjukkan garis sesar yang membahagi Plat Eurasia dan Plat Laut Filipina. Pergerakan tektonik yang berterusan ini memberikan tekanan kepada jambatan kereta api. Pada tahun 1989, pihak berkuasa memutuskan supaya laluan kereta api ditukarkan ke pinggir barat sungai. Ini merupakan berita baik kepada penunggang basikal kerana landasan kereta api lama menjadikan asas yang baik untuk laluan basikal.
Laluan Basikal Yufu ialah perjalanan yang sangat menyenangkan. Anda akan melalui kawasan pendesaan Lembah Huadong, sawah padi dan ladang biji sesawi yang mempesonakan. Lebih kurang 5km dari Stesen Kereta Api Yuli, anda akan sampai ke sebuah pelantar, yakni satu-satunya peninggalan bekas Stesen Antong yang kecil. (Catatan: Antong terkenal dengan mata air panas. Jika menyusuri Lebuh Raya No.30 ke atas gunung, sejauh kira-kira 2km dari stesen, anda boleh tiba di lokasi-lokasi mata air panas yang sangat baik.)
Laluan Basikal Yufu berakhir di Dongli (lebih kurang 10km dari Stesen Kereta Api Yuli) yang merupakan bekas stesen. Kafe di dalam bekas bangunan stesen ini menjadikan sini tempat yang bagus untuk berehat. Anda boleh mengecas diri sendiri sebelum memulakan perjalanan pulang ke Yuli.
Kota Taitung ke Sanxiantai
Taitung ialah sebuah kota kecil di tenggara dengan suasana santai dan kaya dengan budaya peribumi. Taitung merupakan titik permulaan yang logik untuk menjelajahi Pantai Timur dari selatan. Dalam perjalanan Taitung ke Sanxiantai, tarikan pelancongan utama yang sepanjang 50km sehala ini terkenal dengan pemandangan yang indah dan menarik sekali. Di sebelah utara bandar, anda akan menemui formasi batuan batu pasir yang menarik di Xiaoyeliu (“Little Yeliu”). Xiaoyeliu merupakan versi mini bagi Taman Geologi Yeliu “Besar” yang lebih terkenal di Pantai Utara. Selepas itu, anda boleh berhenti di Taman Jialulan yang terletak di tepi pantai kurang daripada 2km dari Xiaoyeliu. Jialulan ialah tempat yang ideal untuk menghayati pantai di utara kerana menampilkan pergunungan yang menakjubkan dari kawasan pesisir pantai.
Disebabkan terdapat lebuh raya berhampiran di sepanjang pantai di kawasan ini, anda boleh berhenti di banyak pantai berpasir dan berkerikil kecil sepanjang perjalanan, termasuk Shanyuan dan Jiamuzi. Sebelum tiba di desa Dulan, pastikan anda membelok ke kiri tepat di seberang jalan raya untuk melihat pemandangan Air Mengalir ke Atas. Air di saluran kecil ini kelihatan seolah-olah menentang graviti. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Dulan menjadi tarikan hangat bagi pelancong dan penduduk baharu. Mereka ingin merasai suasana komuniti kecil yang santai dan berdekatan dengan pantai luncur air yang baik.
Perhentian seterus yang ideal untuk berehat ialah Kawasan Rekreasi Jinzun. Di sini, terdapat sebuah kafe di lokasi tinggi dengan tempat duduk di luar. Lokasi ini sesuai untuk menikmati pemandangan Pasifik yang megah. Anda boleh meninjau Pelabuhan Perikanan Jinzun dari jauh. Pelabuhan ini terkenal sebagai salah satu lokasi luncur air yang terbaik di Taiwan. Seterusnya ialah kampung Donghe. Anda mesti mencuba bun kukus yang enak. Ketika melintasi Jambatan Donghe di utara kampung, anda mesti memandang ke kiri untuk melihat Jambatan Lama Donghe. Di luar jambatan, batu-bata putih besar tersebar di dasar Sungai Mawuku.
Akhirnya, anda akan memasuki Perbandaran Chenggong. Ibu pejabat Pentadbiran Kawasan Pemandangan Nasional Pantai Timur terletak di sini. Selain itu, Festival Seni Pantai Timur Taiwan tahunan juga diadakan di sini. Seterusnya, cubalah makanan laut yang lazat sekali di pelabuhan nelayan Chenggong. Tarikan terakhir yang dicadangkan ialah Sanxiantai yang indah. Sanxiantai merupakan sebuah pulau kecil di luar pesisir yang dihubungkan ke daratan dengan jambatan pejalan kaki fotogenik. Jambatan tersebut mempunyai gerbang-gerbang yang sesuai untuk mengambil gambar.