Laluan Basikal di Taipei/Daerah Xinyi/Jalan Xinyi


Sistem perkongsian basikal Taiwan bermula di Daerah Xinyi yang sibuk. Daerah Xinyi memiliki bangunan tertinggi di Taiwan, sebuah kedai buku besar yang beroperasi 24 jam, banyak kelab bergaya, restoran mewah dan  pusat beli-belah mewah. Daerah ini mesra berbasikal kerana terdapat laluan berbasikal di sepanjang dan antara jalan raya utama, termasuk Jalan Ren’ai dan Jalan Xinyi. Sewalah YouBike untuk meneroka dan melawat salah satu kawasan yang paling rancak dan bergaya di Taipei.


Tarikan yang terkenal di kawasan ini ialah Menara Taipei 101 yang ikonik. Taipei 101 yang setinggi 508m merupakan bangunan tertinggi di dunia sejak pembukaannya pada tahun 2004 hingga 2010. Kini, Taipei 101 merupakan bangunan ke-11 tertinggi antara pencakar langit dunia. Apabila dipandang dari bawah, bangunan ini yang berstruktur kaca dan keluli dengan bentuk buluh atau pagoda pascamoden pasti mengagumkan.


Di sebelah barat daya Taipei 101 ialah Desa Selatan 44, sebuah bekas tapak penempatan keluarga askar yang telah berubah menjadi taman kreatif budaya. Desa Selatan 44 memiliki butik berseni, pasar makanan tempatan, ruangan persembahan dan pasar terbuka. Bersiar-siar di laluan sempit di antara bangunan konkrit warisan ini sangat menyeronokkan. Laluan sempit ini juga amat berkontras dengan Taipei 101 yang mempunyai seni bina moden yang glamor.


Setelah kedai utama Eslite di Jalan Selatan Dunnan yang beroperasi selama 31 tahun ditutup pada bulan Mei, tradisi kedai buku yang beroperasi 24 jam ini telah diwarisi cawangan Xinyi. Kedai Eslite yang bertingkat ini terletak di tengah-tengah kawasan beli-belah mewah. Selain memiliki medan selera, kedai kopi dan galeri kesenian, Kedai Eslite Xinyi juga terdapat pusat beli-belah yang menjual pelbagai jenis produk pereka tempatan dan/atau kreatif.


Lebuh Kesenian Taichung / Taichung


Sewalah YouBike di hadapan Muzium Nasional Seni Halus Taiwan (www.ntmofa.gov.tw) di Taichung dan menuju ke Muzium Seni Parkway. Anda akan melihat koridor hijau yang menyegarkan di pusat bandar yang dipenuhi dengan restoran, galeri, kedai buku dan butik. Laluan batu bata yang berkelok-kelok membolehkan pejalan kaki dan penunggang basikal menikmati pelbagai karya seni awam berskala besar. Pada waktu malam, pencahayaan jalan memberikan suasana yang menenangkan dan romantis. Pada hujung minggu, tempat ini akan dipenuhi dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian, seperti persembahan dan konsert.


Setelah mengembalikan basikal anda, bersantailah di salah satu kedai makan di sepanjang jalan Muzium Seni. Kawasan ini menawarkan pelbagai pilihan makanan antarabangsa seperti masakan Taiwan dan masakan orang asli Taiwan, Yunani, India, Perancis dan Thailand. Jangan lupa untuk  melawat Muzim Nasional Seni Halus Taiwan yang merupakan salah satu muzium seni halus yang terbesar di Asia. Muzium ini mempunyai sebuah taman arca luaran yang menampilkan karya seni moden dan kontemporari seniman Taiwan, muzium ini juga mengadakan pameran khas karya seniman luar negara.


Anda boleh berbasikal ke Greenway Kaligrafi yang berdekatan dan meneruskan perjalanan anda ke Muzium Sains Semula Jadi Nasional (www.nmns.edu.tw). Anda berpeluang menikmati pemandangan di sepanjang jalan.